68 PESERTA SERTAI KHITAN PERDANA 4.0 ANJURAN ABRAR CARE MALAYSIA

Buat julung kalinya, seramai 68 orang peserta menyertai Program Khitan Perdana 2019 anjuran Abrar Care Malaysia (ACM). Tahun ini merupakan tahun keempat program ini dianjurkan oleh ACM.

Program pada tahun ini diadakan di dua tempat yang berbeza iaitu di Pejabat Abrar Care Malaysia dengan kerjasama NGO Cakne Rakyat Bentong dan Lajnah Kebajikan Pas Kawasan Bentong dengan penyertaan seramai 38 orang.

Sementara itu, di Janda Baik pula, seramai 30 orang peserta turut menyertai program ini yang diadakan di Masjid Tengku Abu Bakar dengan kerjasama ahli jawatankuasa masjid tersebut. Program ini telah dirasmikan oleh Yang Dipertua PAS kawasan Bentong, Encik Khairuddin Abdullah.

Dalam ucapannya, beliau menyatakan “PAS Kawasan Bentong turut bertanggungjawab dalam melaksanakan program ini kerana kebajikan masyarakat sentiasa menjadi keutamaan kami. Lebih-lebih lagi program yang diadakan ini hanya mengenakan yuran RM 80 seorang berbanding dengan harga asal RM 120-RM 250 seorang di klinik-klinik swasta”.

Menurut pengerusi ACM pula, Ustaz Roslan Md Esa, “tahun ini merupakan tahun keempat Program Khitan Perdana diadakan, namun kali pertama mendapat penyertaan yang sangat ramai melebihi 50 orang peserta, Alhamdulillah”

Program yang diadakan ini turut mendapat kerjasama daripada pembantu perubatan Hospital Bentong seramai enam orang yang bertanggungjawab melaksanakan khitan tersebut.

Program bermula dengan pendaftaran peserta pada jam 8 pagi dan diikuti dengan ceramah ‘Kepentingan Ibadah Berkhitan’ yang disampaikan oleh Ustaz Roslan. Seterusnya, para peserta dihiburkan dengan mandi bomba beramai-ramai sebelum melaksanakan ibadah khitan.

Sementara menunggu para peserta berkhitan, urusetia program turut menyediakan aktiviti cabutan bertuah, pertandingan mewarna bagi kanak-kanak serta pertandingan gubahan sejadah bagi kaum ibu. Dalam masa yang sama juga, makanan pagi disediakan kepada semua peserta dan penjaga yang hadir.

Pelbagai ragam dan reaksi peserta dapat disaksikan sepanjang aktiviti khitan diadakan. Ada yang tersenyum, ada yang menangis dan tidak kurang juga yang menjerit ketakutan. Namun, alhamdulillah program yang diadakan dengan kerjasama 25 orang urusetia ini berakhir dengan jayanya pada jam 3.30 petang.

Disediakan oleh,
Che Norina Che Malik
Urusetia Program Khitan Perdana 2019

Suasana Program Khitan Perdana di Sriti Al Abrar Bentong :

WhatsApp chat